TENTANG PSIKOLOGI SOSIAL

By Nur Afirah - Tuesday, April 05, 2022

Psikologi Sosial




Kita sering mendengar perihal bahawa setiap manusia yang dilahirkan itu berbeza-beza, tidak sama.  Dalam konteks psikologi sosial, cara seseorang individu itu dibesarkan menjadi sumber kepada pembentukan manusia.  Menurut  Effy Wardati (2019) prinsip asas kepada psikologi sosial adalah sifat sosial manusia itu sendiri.  Psikologi sosial merupakan cabang disiplin psikologi yang merupakan kajian saintifik yang dilihat dari segi bagaimana seseorang itu berfikir.  Ia juga berkait rapat dengan bagaimana pengaruh antara hubungan dengan persekitaran seseorang itu dibesarkan serta  menjalani kehidupan.


Dalam psikologi sosial ini juga seseorang itu boleh belajar tentang diri serta melihat bagaimana sesuatu perkara itu memberi kesan kepada orang lain.  Hasan Mustafa (2011), ada menyatakan bahawa ada beeberapa dasar yang telah menyumbang kepada pendekatan psikologi sosial. Perspektif dari sudut tingkah laku sosial seseorang dijelaskan melalui tingkah laku yang secara langsung dapat diamati dan persekitarannya yang menyebabkan tingkah laku individu itu boleh berubah.


Jika dilihat fenomena penggunaan gajet atau peranti dalam kanak-kanak hari ini menimbulkan pelbagai reaksi dari pihak ibubapa dan pakar kesihatan.  Pengaruh budaya yang menghasilkan dua pandangan yang berbeza ini boleh dijadikan sebagai contoh kepada psikologi sosial.  Sesetengah ibubapa berpendapat tidak mengapa jika anak-anak mereka didedahkan dengan skrin pada usia yang masih awal.  Ada dalam kalangan ibubapa yang lain juga turut bersetuju dengan hal itu kerana menurut mereka, ibubapa yang bekerjaya terutamanya tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk bersama-sama dengan anak mereka.  Maka pemberian peranti kepada anak-anak dikira relevan jika dibandingkan dengan keadaan di mana mereka akan membuat bising, mengamuk kerana kebosanan atau sudah terbiasa dengan permainan yang terdapat dalam peranti berkenaan.  Namun, bagi mereka yang berpegang kepada peraturan tidak memberikan pendedahan skrin kepada anak-anak, melihat situasi berkenaan sebagai perkara yang tidak baik.  Malah mereka berpendapat ibubapa berkenaan tidak cakna terhadap kesihatan anak-anak mereka.  Hal ini kerana pendedahan terlalu awal boleh mengakibatkan pelbagai kesan seperti masalah penglihatan atau gangguan percakapan.





Pemikiran sosial dan sikap manusia secara tidak langsung dibentuk oleh tingkah laku. 

Ia dapat dilihat bahawa semakin lama semakin ramai yang menyedari hakikat bahawa tingkah laku

manusia tidak dapat terlepas dari keadaan persekitarannya, kerana itu tidaklah sempurna meneliti

manusia itu berdiri sendiri dan tidak melihat dari sisi masyarakat yang ada di belakang mereka

(Adnan Achiruddin, 2018).  Dalam sesetengah keadaan kelihatan janggal bagi seorang individu yang

tidak biasa dengan sesetangah situasi.  Sedangkan bagi mereka yang sudah pun biasa terlibat

dengannya menganggap itu adalah suatu yang normal.  Sebagai contoh, murid sekolah yang

bekerja secara separuh masa selepas pulang dari sesi persekolahan bagi mendapat wang

perbelanjaan.  Atau ada juga yang bekerja untuk menampung keluarga dan adik-beradik. 

Persekitaran sosial dibina dari kecenderungan pengaruh sosial, boleh jadi juga mengikuti jejak

langkah abang atau kakaknya yang juga bekerja sejak di bangku sekolah. Ia ibarat telah didoktrin

dengan keadaan sekeliling.


Kajian yang menunjukkan penjelasan terhadap tingkah laku manusia sebagai ahli dalam sesebuah

masyarakat ini diterjemah sebagai psikologi sosial. Ia mengkaji interaksi sosial sesama manusia dan

bagaimana mereka saling mempengaruhi (Baron & Branscombe, 2012).  Situasi itu sendiri biasanya

akan mendorong pembentukan.  Tingkah laku sosial dibentuk hasil daripada orang lain, personaliti

dan biologi atau genetik.  Menurut Myres (2008) pula, elemen yang terdapat dalam kajian psikologi

sosial ini merangkumi kepercayaan dan sikap, berasingan dan berkumpulan, menyukai dan tidak

menyukai.  Pemahaman terhadap sikap sangat penting dalam kajian psikologi sosial kerana ia dapat

memberi penjelasan terhadap pemikiran dan kelakuan manusia melalui kepercayaan dan persepsi

individu yang berkait rapat dengan norma sosial (Baron & Branscombe, 2012).





Secara keseluruhannya psikologi sosial ini merupakan satu cabang disiplin dalam psikologi yang mengkhususkan berkenaan dengan aktiviti manusia serta tingkah laku seseorang dalam hubungan dengan keadaan sosial.  Psikologi sosial ini tidak boleh berdiri sendiri dan ianya saling berkaitan dengan bidang yang lain.  Dalam aspek psikologi personaliti menunjukkan perbezaan setiap individu.  Ada sesetengah individu yang  merupakan seorang extrovert dan ada yang introvert.  Pengaruh sosial memberi impak yang besar kepada seseorang manusia yang berkaitan dengan orang lain manakala psikologi personaliti ini fokus kepada impak ciri-ciri personaliti terhadap tingkah laku.  Situasi di mana mendorong pembentukan tingkah laku sebagai contohnya sering kita lihat dalam kalangan wanita bekerjaya yang dalam masa sama juga memikul tanggungjawab dalam keluarga sebagai seorang isteri dan juga seorang ibu.  Selain itu, cara seseorang itu dibesarkan dapat dilihat hasil dari segi pemikiran dan tingkah laku apabila dia menjadi dewasa kelak.  Oleh sebab ini jugalah perlunya pihak yang berkenaan seperti guru di sekolah, majikan di tempat kerja perlu melihat kepada motif mengapa seseorang itu bertindak terhadap sesuatu situasi.


Nur Afirah.

  • Share:

You Might Also Like

0 comments